Kanser Tonsil | Onkologi | Hospital Gleneagles
  • Ambulans / Kecemasan
    +604 222 9199
  • Talian am
    +604 222 9111

Kanser Tonsil


Tonsil cancer is relatively rare and living with a rare form of cancer can be challenging. Tonsil cancer is often diagnosed late in the disease, when cancer has spread to nearby areas, such as the tongue and the lymph nodes.

Kanser Tonsil: Jenis, Faktor Risiko, Simptom, Diagnosis, Rawatan

Kanser tonsil adalah sejenis kanser orofarinks yang biasa didapati. Kejadiannya meningkat dengan mendadak akibat peningkatan dalam prevalens kanser cetusan papilomavirus manusia (HPV). Kewujudan HPV boleh mengubah prognosis bagi kanser tonsil dengan ketara.

Kanser tonsil bermula apabila sel-sel kanser tumbuh di dalam tonsil lalu membentuk tumor atau lesi. Ini boleh berlaku kepada golongan yang telah membuang tonsil kerana sebahagian tisu tonsil masih tertinggal selepas pembedahan. Meminum alkohol, merokok dan dijangkiti HPV akan meningkatkan risiko mendapat kanser tonsil.

Persatuan Kanser Amerika melaporkan bahawa kira-kira 1 dalam 60 (1.7%) lelaki dan 1 dalam 140 (0.71%) wanita berisiko mengalami kanser rongga mulut dan orofarinks sepanjang hayat mereka. Satu lagi kajian mendapati bahawa tonsil adalah tapak yang paling biasa untuk kanser orofarinks dengan 23.1% daripada semua kes kanser dikesan di rantau ini.

Faktor-faktor risiko bagi kanser tonsil

Faktor risiko kanser tonsil yang diketahui termasuk:

  • Penggunaan tembakau
  • Pengambilan alkohol yang berlebihan
  • Jangkitan HPV - terdapat beberapa bukti bahawa kanser tonsil berkaitan dengan papilomavirus manusia (HPV), virus biasa yang dikaitkan dengan hubungan seksual

Tanda dan simptom kanser tonsil

Ramai orang dengan kanser tonsil mungkin tidak akan menyedari apa-apa simptom walaupun selepas didiagnosis. Simptom utama kanser tonsil adalah mempunyai satu tonsil yang lebih besar daripada yang satu lagi. Simptom biasa yang lain adalah sakit tekak yang berterusan. Adakalanya, simptom pertama adalah ketulan di leher.

Simptom lain mungkin termasuk:

  • Sakit telinga, terutamanya di sebelah yang sama dengan tonsil yang terjejas
  • Kesukaran menelan, mengunyah atau bercakap
  • Sakit atau ulser yang berterusan di bahagian belakang mulut
  • Merasakan bahawa sesuatu tersangkut di belakang tekak anda
  • Kejang rahang
  • Nafas berbau
  • Pendarahan daripada mulut – amat jarang

Mengalami satu atau lebih simptom ini tidak bermaksud anda menghidapi kanser tonsil. Sesetengah penyakit bukan kanser boleh menunjukkan simptom yang sama.

Penting untuk anda berjumpa dengan pakar jika anda mengalami jangkitan tonsil yang tidak sembuh dengan pengambilan antibiotik atau sakit telinga yang tidak sembuh.

Diagnosis kanser tonsil

Diagnosis bagi kanser tonsil mungkin dimulakan dengan pemeriksaan mulut dan tekak. Doktor mungkin akan memeriksa leher anda untuk mencari ketulan dan menjalankan laringoskopi iaitu tiub halus dengan kamera dan lampu dimasukkan ke dalam tekak untuk memeriksa apa-apa keabnormalan.

Jika keabnormalan dijumpai, biopsi sampel sel perlu dibuat dan dihantar ke makmal untuk mencari sel kanser. Anda juga mungkin menjalani ujian pengimejan seperti tomografi berkomputer (CT), pengimejan resonans magnetik (MRI), atau imbasan tomografi pancaran positron (PET).

Ketahui lebih lanjut tentang pelbagai jenis pemeriksaan dan prosedur diagnostik yang dilakukan untuk mendiagnosis kanser tonsil.

Pilihan rawatan bagi kanser tonsil

  • Pembedahan mungkin diperlukan untuk membuang sel-sel kanser. Pakar bedah mungkin boleh mengakses kanser kecil melalui mulut. Bagi kanser yang lebih besar, leher mungkin perlu dibedah.
  • Terapi radiasi mungkin diperlukan untuk mengecutkan tumor atau menghentikan pertumbuhannya. Terapi radiasi juga digunakan selepas pembedahan jika kanser tidak dapat dibuang sepenuhnya atau jika terdapat risiko kanser telah merebak kepada nodus limfa. Radiasi boleh juga digabungkan dengan kemoterapi sebagai rawatan awal atau sebagai rawatan tambahan selepas pembedahan.
  • Kemoterapi menggunakan ubat untuk membunuh sel kanser atau untuk memperlahankan pertumbuhan kanser semasa berulang atau metastasis (di mana sel kanser merebak ke bahagian lain badan).
  • Perkhidmatan pemulihan termasuk terapi pertuturan, terapi menelan, nasihat pemakanan, terapi fizikal dan terapi pekerjaan selepas pembedahan atau radiasi.

Ketahui lebih lanjut tentang pelbagai jenis teknologi rawatan untuk merawat kanser tonsil.

Pencegahan kanser tonsil

  • Berhenti merokok dan elakkan asap rokok sekunder.
  • Hadkan pengambilan alkohol, minum secara sederhana.
  • Vaksin terhadap HPV dan amalkan seks selamat.
  • Menghadiri pemeriksaan pergigian dengan kerap untuk mengesan tanda-tanda kanser dan perubahan prakanser.

Pengesanan Melindungi!

Tiada ujian saringan rutin untuk rongga mulut dan kanser orofarinks tersedia. Namun begitu, pemeriksaan mulut rutin oleh doktor atau doktor gigi boleh mengesan kanser mulut atau lesi prakanser yang boleh menyebabkan kanser pada peringkat awal untuk rawatan tepat pada masanya.

Pemeriksaan sendiri bulanan rongga mulut juga disyorkan untuk orang yang berisiko tinggi menghidap kanser ini, terutamanya mereka yang merokok atau minum alkohol secara rutin.

Atur janji temu di Hospital Gleneagles

Jika anda mengalami sebarang simptom kanser tonsil, hubungi kami untuk mengetahui lebih lanjut berkenaan Perkhidmatan Onkologi di Hospital Gleneagles yang terdekat dengan anda.

Hospital Gleneagles bekerjasama dengan ahli onkologi untuk membantu pesakit sepanjang rawatan kanser. Pasukan profesional penjagaan kesihatan yang prihatin dan pelbagai disiplin sedia untuk berunding dan memberikan penjagaan yang terbaik.



Hubungan kecemasan
Gleneagles Hospital Penang
Ambulans / Kecemasan
+604 222 9199
Pilih Hospital