Rinitis Alergi Kanak-kanak | Hospital Gleneagles

Rinitis Alergi Kanak-kanak

Rinitis alergi adalah keadaan laluan hidung yang meradang. Keradangan ini tercetus kerana terdedah kepada alergen seperti habuk, kulapuk, kulat, debunga, dan bulu haiwan. Gigitan serangga, asap rokok, minyak wangi, dan ekzos kereta boleh menjadi alergen juga.

Badan bertindak balas kepada alergen dengan menghasilkan antibodi alergi yang dipanggil Imunoglobulin E (IgE) sebagai mekanisme pertahanan. Reaksi imun ini akan melepaskan bahan kimia seperti histamina ke dalam badan, yang menyebabkan simptom-simptom berkaitan dengan rinitis alergi.

Rinitis alergi bermusim berlaku semasa musim spesifik. Alergen baginya termasuk debunga daripada pokok, rumpai, dan rumput.

Rinitis alergi sepanjang masa berlaku sepanjang tahun. Alergen baginya termasuk tungau debu, sisik haiwan, lipas, kulapuk atau kulat.

Simptom-simptom Rinitis Alergi Kanak-kanak

Walaupun rinitis alergi boleh berlaku pada sebarang umur, kebanyakan orang mula-mula mengalami simptomnya semasa kanak-kanak atau remaja.

Istilah "rinitis" khususnya berkaitan dengan simptom hidung, tetapi ramai kanak-kanak turut mengalami simptom yang menjejaskan mata, tekak, dan telinga. Tidur mereka mungkin juga terganggu.

Simptom-simptom rinitis alergi kanak-kanak termasuk hidung berair dengan mukus yang berair, cair dan jernih, bersin atau hidung tersumbat, sesak hidung, sakit kepala, gatal pada hidung, tekak, mata dan telinga, serta lelehan belakang hidung, iaitu rasa mukus meleleh di belakang tekak.

Rinitis alergi sepanjang masa berlaku sepanjang tahun dengan simptom seperti lelehan belakang hidung, sentiasa sesak hidung, dan susah untuk tidur.

Faktor-faktor Risiko Rinitis Alergi Kanak-kanak

Kanak-kanak yang mempunyai masalah alergi lain seperti ekzema, alergi makanan dan asma, berisiko lebih tinggi untuk mengalami rinitis alergi. Kira-kira 80% kanak-kanak yang didiagnosis dengan asma akan turut mengalami rinitis alergi. Alergen sering kali merupakan pencetus utama bagi serangan asma dalam kanak-kanak ini. Kanak-kanak yang mempunyai ibu bapa dengan masalah alergi juga lebih cenderung untuk mendapat alergi.

Diagnosis Rinitis Alergi Kanak-kanak

Untuk mendiagnosis rinitis alergi kanak-kanak, doktor akan menilaikan sejarah perubatan dan melakukan pemeriksaan fizikal secara menyeluruh. Ujian alergi seperti ujian cucuk kulit mungkin diperlukan jika diagnosis tidak jelas dalam sesetengah kes.

Rawatan dan Pengurusan Rinitis Alergi Kanak-kanak

Rawatan dan pengurusan bagi rinitis alergi merangkumi perkara berikut:

Mengenal pasti dan mengelakkan alergen

  1. Debunga: Jika anak anda sensitif kepada rumpai atau pokok spesifik di luar tingkap bilik tidur, cuba alihkan dan gantikannya dengan tanaman kurang alergen. Sentiasa tutup tingkap di rumah dan khususnya semasa berada di dalam kereta. Jika boleh, gunakan pendingin udara edar semula di dalam kereta.
  2. Haiwan peliharaan: Reaksi alergi kepada haiwan peliharaan biasanya tidak berpunca daripada bulunya, tetapi akibat terdedah kepada kulit mati, air liur, dan urin haiwan itu. Untuk mengurangkan pendedahan, basuh tangan serta-merta selepas membelai mana-mana haiwan. Biarkan haiwan peliharaan berada di luar seberapa lama yang boleh; jika haiwan peliharaan mesti berada di dalam rumah, elakkannya masuk ke dalam bilik tidur. Mandikan haiwan peliharaan sekurang-kurangnya sekali setiap dua minggu. Rapikan bulu anjing di luar untuk mengurangkan alergen di dalam rumah. Basuh peralatan tempat tidur dan kain rumah yang telah bersentuhan dengan haiwan peliharaan.
  3. Kulapuk: Kulapuk hidup dalam keadaan lembap dan hapak. Untuk mencegah pertumbuhannya, pastikan rumah anda kering dan diudarakan dengan baik. Semasa memasak atau menggunakan bilik air/mandi, tutup pintu di dalam untuk mengelakkan penyebaran udara lembap. Gunakan kipas penyari untuk memperbaiki pengudaraan. Elakkan mengering pakaian di dalam rumah atau menyimpan terlalu banyak pakaian dan peralatan tempat tidur dalam almari. Hilangkan lembapan dan wap di rumah dengan segera.

Perubatan

Doktor akan mempreskripsikan ubat alergi oral seperti antihistamina.

Penyembur hidung menyampaikan antihistamina atau steroid terus ke dalam laluan hidung. Ia harus digunakan untuk tempoh yang pendek sahaja. Bagaimanapun, penyembur hidung steroid biasanya tidak dipreskripsikan untuk anak berumur bawah dua tahun.

Ubat titis mata juga mungkin dipreskripsikan.

Imunoterapi mungkin disarankan untuk kanak-kanak dengan rinitis alergi yang teruk dan tidak bertindak balas kepada pilihan rawatan lain. Pilihan ini juga mungkin dicadangkan untuk kanak-kanak dengan alergi dan asma yang sukar untuk dikawal.

Rinitis alergi jarang berlaku pada kanak-kanak berumur bawah 2 tahun kerana mereka kurang terdedah kepada alergen persekitaran. Kanak-kanak yang menunjukkan simptom seperti hidung sentiasa berair dinasihatkan berjumpa dengan doktor untuk mengetahui punca lain yang mungkin baginya.

Aturkan Janji Temu di Hospital Gleneagles

Intervensi awal dan pengurusan yang betul boleh mengurangkan simptom rinitis alergi dengan ketara dan memelihara kesejahteraan kanak-kanak.

Hubungi kami untuk mengetahui lebih lanjut tentang Perkhidmatan Pediatrik kami di Hospital Gleneagles berdekatan anda. Pasukan pakar pediatrik yang berdedikasi sedia untuk menyediakan bantuan perubatan jika anak anda mengalami rinitis alergi atau alergi lain.

Hubungan kecemasan
Gleneagles Hospital Kota Kinabalu
Ambulans / Kecemasan
+6088 518 911
Gleneagles Hospital Kuala Lumpur
Ambulans / Kecemasan
+603 4141 3018
Gleneagles Hospital Penang
Ambulans / Kecemasan
+604 222 9199
Gleneagles Hospital Medini Johor
Ambulans / Kecemasan
+607 560 1111
Pilih Hospital