Ekzema Bayi | Hospital Gleneagles

Ekzema Bayi

Masalah kulit ekzema menyebabkan kulit menjadi merengsa, gatal, bersisik, dan kemerahan. Ia menjejaskan bayi, kanak-kanak, juga orang dewasa, dan lebih kerap berlaku dalam sesetengah keluarga. Kira-kira 90% penghidap ekzema mengalaminya sebelum umur 5 tahun. Ekzema sering muncul semasa anak berumur antara 6 bulan hingga 5 tahun.

Ekzema boleh memburukkan reaksi alergi dengan menjejaskan sistem imun, yang akan melepuhkan kulit serta menghapuskan pelindung kulit terhadap penyakit. Bagaimanapun, kaedah pencegahan dan rawatan yang berkesan ada tersedia untuk bayi dan anak kecil.

Jenis-jenis Ekzema Bayi

Ekzema bayi biasanya berpunca akibat perengsa, faktor persekitaran, genetik, atau alergi. Oleh itu, ia tidak berjangkit dan tidak akan merebak daripada seseorang kepada seseorang yang lain. Terdapat beberapa jenis ekzema bayi dan kanak-kanak.

Dermatitis atopik adalah sejenis ekzema yang paling biasa dialami semasa bayi atau tahun awal kanak-kanak, tetapi ia boleh berlaku pada sebarang umur. Kanak-kanak dengan sejarah keluarga mengalami dermatitis atopik, asma, atau demam alergi berisiko lebih tinggi untuk mendapat dermatitis atopik.

Dermatitis seboroik biasanya menjejaskan kawasan badan yang mempunyai banyak kelenjar sebum (mengeluarkan minyak) seperti kulit kepala, hidung, dan belakang badan. Dermatitis seboroik yang menyerang kulit kepala anak kecil lebih dikenali sebagai "keruping buaian." Kadang-kadang, ia boleh menyerang muka anak kecil, khususnya di sekeliling mata dan hidung. Bagi kanak-kanak yang lebih tua dan orang dewasa, dermatitis seboroik pada kulit kepala dikenali sebagai kelemumur. Berbeza dengan jenis-jenis ekzema yang lain, dermatitis seboroik tidak dicetuskan oleh alergi.

Ekzema dishidrotik berlaku apabila lepuh kecil terbentuk pada tapak tangan, tapak kaki, dan hujung jari tangan serta jari kaki. Ekzema jenis ini lebih kerap berlaku pada individu yang mempunyai ekzema bentuk lain dan didapati ada perkaitan dengan genetik.

Dermatitis sentuh berlaku apabila kulit menjadi merengsa atau meradang akibat bersentuhan dengan bahan yang mencetuskan reaksi alergi. Ruam ini mungkin menghasilkan bintil-bintil gatal (gatal-gatal), dan kulit akan menjadi tebal dan bersisik. Dermatitis sentuh perengsa menjejaskan kulit dengan serta-merta kerana sel kulit menjadi rosak akibat terdedah kepada bahan perengsa, manakala dermatitis sentuh alergi menunjukkan reaksi alergi yang lambat akibat terdedah kepada alergen.

Punca Ekzema Bayi

Punca ekzema masih belum diketahui sepenuhnya. Bagaimanapun, ia mempunyai komponen genetik yang kuat, dan individu dengan sejarah keluarga mengalami ekzema berisiko lebih tinggi untuk mendapat penyakit ini.

Kebanyakan bayi dengan ekzema menunjukkan keabnormalan genetik dalam lapisan kulit paling luar, iaitu epidermis. Epidermis bertindak sebagai pelindung pertama badan terhadap persekitaran dengan menghalang kemasukan perengsa, alergen, dan mikrob selain mengekalkan kelembapan kulit.

Pelindung ini biasanya lebih lemah dan lebih telap daripada biasa, bagi individu yang menghidap ekzema. Bagi kanak-kanak dengan ekzema, pelindung kulit yang terjejas akan menghilangkan lebih banyak air daripada kulit, dan menjadikannya kering. Pelindung kulit yang lemah juga lebih mudah dimasuki perengsa, alergen, bakteria, dan virus.

Berbeza dengan pemahaman umum, ekzema bayi jarang dikaitkan dengan alergi makanan. Sila berjumpa dengan doktor jika terdapat kebimbangan tentang alergi makanan bagi kanak-kanak yang mengalami ekzema.

Simptom-simptom Ekzema Bayi

Kebanyakan pesakit ekzema akan mengalami simptom awal sebelum berumur lima tahun. Ekzema mempunyai pelbagai simptom, yang mungkin berbeza untuk setiap orang, dan boleh berkembang lama-kelamaan. Meskipun ekzema biasanya menyerang kawasan badan tertentu, ia boleh menyerang berbilang kawasan bagi kes teruk.

Simptom-simptom biasa termasuk kegatalan teruk pada kulit, keradangan kulit, kehadiran bintil-bintil kecil, dan kulit mengelupas. Menggaru boleh memburukkan keradangan kulit dan membuatnya semakin gatal, dengan simptom yang bertambah teruk pada waktu malam. Pesakit ekzema yang kerap menggaru kulit boleh meningkatkan risiko bagi jangkitan kulit. Tanda-tanda jangkitan termasuk bintil-bintil merah yang sakit dan mungkin bernanah.

Ekzema adalah penyakit kronik di mana terdapat tempoh sembuh dan tempoh meradang, dengan simptom-simptom yang bertambah buruk dari semasa ke semasa. Keradangan dermatitis atopik boleh berkitar secara berterusan selama bertahun-tahun, antara tempoh sembuh dan tempoh berulang. Walaupun satu kawasan kulit mungkin sedang sembuh, keradangan boleh muncul di kawasan lain, dan keradangan yang muncul kembali di lokasi yang sama adalah perkara biasa. Lama-kelamaan, tekstur kulit boleh berubah menjadi tebal, bersisik dan keras. Kulit juga mungkin merekah akibat kekeringan.

Diagnosis Ekzema Bayi

Diagnosis akan dibuat melalui penilaian sejarah perubatan dan simptom, serta pemeriksaan fizikal yang menyeluruh bagi bayi anda kerana tiada ujian spesifik untuk mendiagnosis ekzema.

Faktor-faktor yang menyumbang kepada diagnosis ekzema termasuk kesan garu yang lama dan berulang, kemunculan simptom, dan sejarah keluarga mengalami alergi spesifik (asma, alergi bermusim, ekzema).

Ujian alergi yang terperinci mungkin dijalankan jika alergi tertentu disyaki.

Rawatan dan Pengurusan Ekzema Bayi

Meskipun ekzema tidak boleh disembuhkan, rawatan yang berkesan boleh mengawal dan menguruskan simptom. Ekzema tidak berjangkit dan tidak boleh merebak daripada seseorang kepada seseorang yang lain melalui sentuhan terus.

Berikut adalah beberapa kaedah untuk menguruskan ekzema bayi.

Mandikan bayi anda dengan air suam dan bukan air panas, kerana air panas boleh menghilangkan minyak semula jadi kulit dan membuatnya bertambah kering. Gunakan sabun tanpa haruman yang lembut atau pembersih bukan sabun untuk mencegah kulit menjadi lebih merengsa. Selepas mandi, segera sapukan produk emolien untuk mengekalkan lembapan dan mencegah kulit menjadi kering akibat kehilangan air.

Gunakan produk emolien untuk melembapkan kulit bayi anda dan mencegahnya menjadi kering. Produk emolien yang paling berkesan untuk ekzema adalah krim pekat atau salap yang mengandungi hanya sedikit air. Produk-produk ini paling berkesan apabila segera digunakan selepas mandi. Untuk hasil optimum, produk emolien boleh digunakan sekurang-kurangnya dua kali sehari atau lebih kerap jika perlu.

Losen mengandungi lebih banyak air berbanding krim dan salap, dan kurang berkesan untuk melembapkan kulit dan mungkin kurang sesuai untuk pesakit ekzema.

Memandangkan ekzema adalah menggatalkan, elakkan bayi anda menggaru kulit kerana kulit boleh terkoyak dan dijangkiti. Pastikan untuk memotong kuku jari tangan bayi anda untuk mengelaknya menggaru. Anda juga boleh gunakan sarung tangan untuk menghalang bayi menggaru secara tidak sengaja semasa tidur.

Kortikosteroid topikal boleh mengurangkan keradangan dan kegatalan, dan ia biasanya digunakan untuk merawat ekzema. Kortikosteroid tersedia dalam pelbagai bentuk, termasuk salap, penyembur, losen, dan krim.

Kenal pasti dan perhatikan elemen pencetus yang menyebabkan ekzema bayi anda dan elakkannya. Pencetus biasa bagi ekzema termasuk pencetus badan seperti peluh, air liur (khususnya bagi bayi, yang boleh menyebabkan masalah ruam air liur), dan menggaru (boleh memburukkan simptom). Pencetus persekitaran termasuk asap tembakau, udara kering, sisik haiwan peliharaan, dan debunga. Pencetus produk termasuk pakaian (khususnya pakaian yang diperbuat daripada fabrik tertentu), pencuci kain, pelembut fabrik, syampu, atau sabun (khususnya sabun yang mengandungi haruman), bedak atau pengelap bayi.

Pencegahan Ekzema Bayi

Tiada cara yang muktamad untuk mencegah ekzema. Pemerhatian dan cadangan yang berguna untuk bayi dengan sejarah keluarga mengalami ekzema termasuk menjaga kulit bayi dengan krim pelembap atau salap. Meskipun ia belum disahkan dapat mencegah ekzema, ia dapat membantu menghidratkan kulit.

Memilih produk tiub berbanding produk botol adalah lebih baik. Pencemaran boleh dielakkan kerana anda tidak perlu mencelup jari anda ke dalam produk berulang kali.

Penyelidikan masih dibuat, dan saranan mungkin berubah apabila lebih banyak maklumat diketahui tentang ekzema dan pencegahannya.

Atur Janji Temu di Hospital Gleneagles

Ekzema bayi adalah masalah biasa yang boleh dirawat dalam kebanyakan kes. Intervensi awal dan pengurusan yang betul boleh mengurangkan simptom dengan ketara dan memelihara kesejahteraan bayi.

Hubungi kami untuk mengetahui lebih lanjut tentang Perkhidmatan Pediatrik kami di Hospital Gleneagles berdekatan anda. Pasukan pakar pediatrik yang berdedikasi sedia memberikan bantuan perubatan jika anak anda mengalami ekzema dan masalah kulit yang berkaitan.

Hubungan kecemasan
Gleneagles Hospital Kota Kinabalu
Ambulans / Kecemasan
+6088 518 911
Gleneagles Hospital Kuala Lumpur
Ambulans / Kecemasan
+603 4141 3018
Gleneagles Hospital Penang
Ambulans / Kecemasan
+604 222 9199
Gleneagles Hospital Medini Johor
Ambulans / Kecemasan
+607 560 1111
Pilih Hospital