Kolik Bayi | Hospital Gleneagles

Kolik Bayi

Kolik bayi adalah keadaan di mana bayi terus menangis atau tidak berhenti menangis tanpa sebab yang jelas semasa 3 bulan pertama sejak lahir. Bayi dengan kolik biasanya akan menangis melebihi 3 jam sehari selama lebih 3 hari seminggu dan beransur kurang pada umur 3 hingga 4 bulan.

Simptom-simptom Kolik Bayi

Bayi dengan kolik amat kuat menangis, dengan kaki dinaikkan ke perut, tangan digenggam, belakang melengkung, dan mungkin mengalami perut kembung. Tangisan mungkin berhenti sebaik sahaja bayi mengeluarkan angin atau membuang air besar.

Punca Kolik Bayi

Punca kolik bayi tidak diketahui. Namun, faktor-faktor berikut mungkin menyumbang kepadanya: tidak selesa kerana gas, lapar, terlebih makan, tiada toleransi terhadap makanan spesifik atau protein tertentu dalam susu ibu atau susu formula, bertindak balas kepada rangsangan tertentu, respons emosi seperti takut, kecewa, mahupun teruja.

Diagnosis Kolik Bayi

Kolik biasanya didiagnosis sebaik sahaja ia berlanjutan sehingga tiga hingga empat bulan. Awasi waktu bayi anda menangis, waktu dia tidur, makanan yang diambil dan berapa kerap, serta corak membuang air besar bayi anda. Doktor mungkin bertanya soalan-soalan ini semasa perundingan.

Doktor juga akan melakukan pemeriksaan fizikal dan beberapa ujian untuk memastikan bayi anda tidak mempunyai masalah perubatan yang lain seperti hernia, refluks gastroesofagus, atau intususepsi.

Rawatan Untuk Kolik Bayi

Bayi anda tidak perlu segera dibawa berjumpa dengan doktor untuk masalah kolik. Hubungi doktor anda untuk mendapatkan nasihat dan sokongan. Anda boleh mencuba teknik meredakan bayi dengan kolik:

  • Mainkan muzik atau bunyi yang menenangkan.
  • Nyanyi atau pujuk perlahan-lahan.
  • Usap kepala bayi anda perlahan-lahan.
  • Balut bayi anda dengan rapi dan peluknya agar selesa.
  • Pertimbangkan untuk memberi anak anda makan dalam kedudukan tegak (duduk).
  • Sendawakan bayi anda selepas makan.
  • Mandikan bayi anda dengan air suam.
  • Bawa bayi anda berjalan menaiki kereta.
  • Bawa bayi berjalan dalam kereta sorong.
  • Cuba letak tuala suam pada perut bayi anda.
  • Berikan makan seperti biasa.
  • Untuk bayi yang minum susu botol, cuba formula lain selama 1 minggu.
  • Ibu boleh mengamalkan diet hipoalergenik.
  • Urut badan bayi.

Elakkan tindakan yang boleh memburukkan lagi keadaannya. Jangan menggoncang badan bayi anda dengan kuat.

Air herba Gripe, yang sering dipasarkan sebagai penawar kolik, ada dikaitkan dengan masalah keselamatan. Sesetengah jenis telah didapati mengandungi bahan berbahaya seperti unsur kaca dan alkohol. Begitu juga dengan larutan homeopati kolosin (terdapat dalam tablet kolik Cocyntal dan Hyland), yang juga didapati mengandungi ramuan berbahaya, termasuk alkohol.

Segera berjumpa dengan doktor jika mana-mana perkara berikut berlaku:

  • Bayi terus menangis selama 2 jam, dan anda tidak boleh meredakannya.
  • Bayi mengalami kolik, dan tiada benda yang boleh meredakannya.
  • Bayi masih mengalami simptom kolik selepas berumur 4 bulan.
  • Bayi demam dan patut dibawa ke jabatan A&E.
  • Bayi selalu enggan makan atau minum, muntah berlebihan, jarang membuang air kecil, membuang air besar berdarah, atau menunjukkan perubahan sikap seperti lesu atau kurang responsif.

Jika anda rasa terbeban atau berfikiran untuk mencederakan bayi anda, segera dapatkan bantuan.

Atur Janji Temu di Hospital Gleneagles

Hubungi kami untuk mengetahui lebih lanjut tentang Perkhidmatan Pediatrik kami di Hospital Gleneagles berdekatan anda jika anda mempunyai sebarang kebimbangan atau pertanyaan mengenai kolik bayi.

Hubungan kecemasan
Gleneagles Hospital Kota Kinabalu
Ambulans / Kecemasan
+6088 518 911
Gleneagles Hospital Kuala Lumpur
Ambulans / Kecemasan
+603 4141 3018
Gleneagles Hospital Penang
Ambulans / Kecemasan
+604 222 9199
Gleneagles Hospital Medini Johor
Ambulans / Kecemasan
+607 560 1111
Pilih Hospital