Tumor Otak | Hospital Gleneagles

Tumor Otak: Apa yang Anda Perlu Tahu

Tumor otak adalah pertumbuhan sel yang abnormal di dalam otak. Tumor otak boleh berlaku dalam mana-mana bahagian otak atau tengkorak, termasuk kelenjar pituitari, pangkal tengkorak, lapisan pelindung otak (meninges), pangkal otak dan bahagian yang lain.

Tumor otak kekal jarang berlaku di Malaysia, dengan 1.6% kes kanser baharu dikaitkan dengan otak dan sistem saraf pusat pada 2020. Namun begitu, tumor otak adalah berbahaya kerana ia boleh menyempitkan bahagian otak yang sihat atau merebak ke bahagian lain otak atau tulang belakang.

Jenis tumor otak

Bukan semua tumor otak ialah kanser. Tumor otak gred rendah atau Gred 1 dan 2 ialah tumor otak bukan kanser (benigna) dengan kadar pertumbuhan yang agak perlahan. Tumor otak gred tinggi atau Gred 3 dan 4 ialah tumor otak barah (malignan) dan cenderung membesar dengan lebih cepat dan merebak ke bahagian normal otak yang berdekatan.

Terdapat dua jenis tumor otak. Tumor otak primer ialah tumor yang berasal dari otak. Tumor otak sekunder atau tumor otak metastatik adalah tumor berkanser yang terjadi pada bahagian badan yang lain dan beransur-ansur merebak pada otak.

Kanser yang biasanya merebak kepada otak termasuk kanser kolon, kanser payudara dan kanser paru-paru.

Faktor-faktor risiko bagi tumor otak

Ada beberapa faktor risiko tertentu yang boleh menambah risiko mendapat tumor otak.

  1. Umur: Tumor otak boleh menjejaskan individu dalam semua peringkat umur, termasuk kanak-kanak, tetapi lebih kerap didapati pada orang tua (85 hingga 89 tahun).
  2. Radiasi: Sebilangan kecil tumor otak berlaku akibat pendedahan kepada radioterapi, X-ray atau imbasan CT pada kepala.
  3. Faktor genetik atau sejarah keluarga: Faktor genetik seperti Neurofibromatosis dan sindrom Turner boleh meningkatkan risiko mendapat tumor otak.

Tanda dan simptom tumor otak

Simptom tumor otak yang paling biasa termasuk:

  • Sakit kepala, terutamanya jika anda tidak mengalaminya sebelum ini dan secara beransur-ansur menjadi lebih kerap dan teruk dalam tempoh beberapa minggu atau bulan
  • Sawan, diperhatikan sebagai tersentak atau getaran tangan, lengan atau kaki, atau dalam beberapa kes, seluruh badan
  • Kekeliruan dan hilang ingatan
  • Rasa kebas, lemah dan lumpuh pada sebelah bahagian badan
  • Loya dan muntah yang tidak dapat dijelaskan
  • Perubahan personaliti dan tingkah laku
  • Kelesuan atau keletihan
  • Kehilangan imbangan dan pening
  • Sukar untuk bertutur
  • Perubahan dalam penglihatan, termasuk penglihatan kabur, penglihatan terowong atau nampak bentuk terapung
  • Masalah pendengaran

Simptom tumor otak berdasarkan lokasi

Bahagian otak yang berlainan mempunyai pelbagai fungsi. Berikut adalah simptom yang biasa dilihat dalam bahagian otak yang berbeza: Simptom bagi tumor otak adalah berbeza dan bergantung pada jenis, gred, saiz dan lokasi tumor tersebut.

1. Lobus frontal

Berfungsi untuk mengawal personaliti dan pergerakan

Simptom:

  • Lemah pada sebelah bahagian badan
  • Kesukaran berjalan
  • Masalah percakapan dan penglihatan
  • Hilang deria bau
  • Perubahan dalam tingkah laku dan personaliti
2. Lobus temporal

Menyimpan ingatan dan memproses bunyi.

Simptom:

  • Kesukaran mendengar
  • Hilang ingatan jangka pendek
  • Mendengar suara dalam kepala anda
  • Kesukaran bertutur
3. Lobus parietal

Membantu mengecam objek dan menyimpan maklumat.

Simptom:

  • Kesukaran bertutur
  • Kesukaran memahami
  • Kesukaran menulis atau membaca
  • Kehilangan sensasi pada satu bahagian badan
4. Lobus oksipital

Memproses objek yang anda lihat

Simptom:

  • Perubahan dalam penglihatan
  • Kesukaran mengenal pasti saiz dan warna objek
5. Serebelum

Mengawal postur dan imbangan badan.

Simptom:

  • Pening
  • Masalah koordinasi dan imbangan
  • Pergerakan mata tidak terkawal
6. Kelenjar pituitari

Menghasilkan hormon bagi fungsi badan.

Simptom:

  • Kemandulan
  • Gula darah tinggi (diabetes melitus)
  • Tekanan darah tinggi (hipertensi)
  • Peningkatan berat badan
  • Perubahan emosi
  • Payudara melelehkan susu meskipun semasa tidak menyusu anak
7. Pangkal otak

Memainkan peranan penting dalam mengawal fungsi badan seperti bernafas.

Simptom:

  • Penglihatan berganda
  • Kesukaran bercakap dan menelan
  • Kesukaran berjalan dan rasa tidak stabil
8. Saraf tunjang

Saraf tunjang merentang daripada otak kepada pinggang dan kehadiran tumor pada saraf tunjang boleh menjejaskan bahagian badan yang berbeza.

Simptom:

  • Kehilangan kawalan usus dan pundi kencing
  • Kebas atau lemah
9. Kelenjar pineal

Berfungsi untuk menghasilkan hormon melatonin.

Simptom:

  • Sakit kepala
  • Penglihatan berganda
  • Keletihan
  • Kesukaran berjalan

Diagnosis tumor otak

Diagnosis dibuat berdasarkan pelbagai siasatan. Doktor akan bertanya tentang kesihatan umum anda dan menjalankan pemeriksaan neurologi untuk memeriksa pendengaran, penglihatan, imbangan, koordinasi dan tindakan refleks. Ujian darah mungkin diperlukan.

Selain itu, doktor anda mungkin membuat ujian berikut untuk membantu diagnosis.

  • Pengimejan resonans magnetik (MRI) dilakukan untuk mendapatkan gambaran terperinci tentang otak, termasuk saiz tumor dan kedudukan tepat secara terperinci.
  • Imbasan Tomografi Berkomputer (CT) ditawarkan sebagai alternatif kepada MRI.
  • Biopsi mendedahkan sifat kanser (malignan atau benigna). Sampel boleh diekstrak semasa pembedahan untuk membuang tumor atau biopsi stereotaktik boleh dilakukan dengan membuat lubang kecil pada tengkorak untuk membuang tisu menggunakan jarum.
  • Spinal tap (lumbar puncture) mengeluarkan cecair serebrospinal (CSF) dari sekeliling tulang belakang untuk mengesan sel-sel kanser apabila sel-sel tumor disyaki telah menyerang meninges.

Ketahui lebih lanjut tentang pelbagai jenis saringan dan prosedur diagnostik yang dilakukan untuk mendiagnosis tumor otak.

Pilihan rawatan bagi tumor otak

Rawatan bagi tumor otak bergantung pada lokasi dan saiz tumor, gred dan jenis tumor, serta kesihatan keseluruhan anda.

Sebelum rawatan, bincang dengan doktor anda tentang objektif yang ingin dicapai dalam pelan rawatan. Selain itu, anda patut bertanya dengan doktor tentang potensi kesan sampingan daripada pelan rawatan serta pilihan untuk penjagaan paliatif.

  • Pembedahan adalah salah satu rawatan utama bagi tumor otak. Pembedahan dilakukan untuk membuang seluruh tumor atau sebahagian tumor untuk membataskan pertumbuhannya.
  • Kemoterapi adalah rawatan kanser yang menggunakan ubat-ubatan poten untuk mematikan sel kanser. Kemoterapi boleh dilakukan sebelum pembedahan untuk mengecilkan saiz tumor dan selepas pembedahan untuk mematikan baki sel kanser serta melambatkan kadar kanser merebak.
  • Radioterapi memusnahkan sel-sel kanser dengan x-ray bertenaga tinggi. Biasanya digunakan untuk tumor dan kawasan sekitar tisu otak yang sihat, seluruh otak atau saraf tunjang.
  • Pembedahan Radio Pisau Gamma ialah satu bentuk terapi sinaran yang menggunakan 192 pancaran sinaran laser yang tepat untuk menyasarkan tumor. Teknik ini juga bertindak sebagai terapi alternatif bagi kemoterapi, pembedahan atau rawatan onkologi radiasi yang lain. Boleh digunakan untuk merawat tumor otak yang telah merebak kepada otak, juga untuk merawat tumor otak benigna dan malignan.
  • Penjagaan paliatif akan dipertimbangkan jika rawatan tidak disyorkan atau kanser langsung tidak boleh dirawat. Matlamatnya adalah memaksimumkan kualiti hidup pesakit dengan mengurangkan tanda dan simptom kanser.

Ketahui lebih lanjut tentang pelbagai jenis teknologi rawatan untuk merawat tumor otak.

Pencegahan tumor otak

Tiada langkah berkesan yang diketahui untuk mencegah tumor otak setakat ini. Namun begitu, risiko menghidap tumor otak boleh dikurangkan dengan mengelakkan merokok dan pendedahan radiasi yang berlebihan.

Pengesanan Melindungi!

Tiada ujian saringan tersedia untuk tumor otak dan saraf tunjang pada masa ini. Namun, jika saudara biologi peringkat pertama anda (adik beradik atau ibu bapa) telah didiagnosis dengan tumor otak, kaunseling genetik mungkin disyorkan untuk mencari sindrom warisan yang berkaitan dengan tumor otak.

Sementara itu, jika anda didiagnosis dengan sindrom warisan yang mungkin membuatkan anda terdedah kepada risiko lebih tinggi untuk tumor otak, doktor anda mungkin mengesyorkan peperiksaan fizikal yang kerap dan ujian lain untuk pengesanan tumor lebih awal untuk rawatan tepat pada masanya.

Atur janji temu di Hospital Gleneagles

Jika anda mengalami sebarang simptom tumor otak, hubungi kami untuk mengetahui lebih lanjut berkenaan Perkhidmatan Onkologi di Hospital Gleneagles yang terdekat dengan anda.

Hospital Gleneagles bekerjasama dengan ahli onkologi untuk membantu pesakit sepanjang rawatan kanser. Pasukan profesional penjagaan kesihatan yang prihatin dan pelbagai disiplin sedia untuk berunding dan memberikan penjagaan yang terbaik.

Hubungan kecemasan
Gleneagles Hospital Kota Kinabalu
Ambulans / Kecemasan
+6088 518 911
Gleneagles Hospital Kuala Lumpur
Ambulans / Kecemasan
+603 4141 3018
Gleneagles Hospital Penang
Ambulans / Kecemasan
+604 222 9199
Gleneagles Hospital Medini Johor
Ambulans / Kecemasan
+607 560 1111
Pilih Hospital