Vaksinasi Cacar Air | Hospital Gleneagles

Memahami Vaksinasi Cacar Air

Simptom-simptom cacar air

Cacar air atau varicella adalah jangkitan virus yang sangat menular disebabkan oleh virus varicella-zoster. Cacar air paling kerap berlaku pada kanak-kanak bawah umur 10 tahun. 

Kebiasaannya mengambil masa kira-kira 10 hingga 21 hari untuk simptom diperhatikan selepas terdedah kepada orang yang dijangkiti. Kes cacar air yang ringan biasanya berlangsung selama lima hingga tujuh hari.

Simptom utama cacar air yang boleh dikenali ialah gatal, lepuh berisi cecair (vesikel) pada kulit kanak-kanak yang dijangkiti. Tompok merah vesikular (ruam) ini biasanya bermula pada muka dan kemudian merebak ke seluruh badan (bahagian belakang, ketiak, kawasan pangkal paha, di bawah payudara atau sekitar alat kelamin yang kurang perlindungan pakaian untuk memberi perlindungan).

Cacar air berjangkit dari hari pertama sebelum ruam muncul sehingga semua kudis telah berkerak-biasanya tujuh hari selepas simptom pertama yang ketara. 

Simptom-simptom lain termasuk demam, keletihan, hilang selera makan dan sakit kepala.

Transmisi Cacar Air

Cacar air sangat mudah berjangkit.

  • Virus cacar air merebak melalui sentuhan langsung dengan kulit atau membran mukus orang yang dijangkiti (seperti mata atau hidung). 
  • Jika kanak-kanak menyentuh mulut atau hidung sendiri semasa dijangkiti, maka orang lain boleh dijangkiti dengan hanya menyentuh tangan kanak-kanak itu.
  • Jangkitan cacar air juga mungkin berlaku daripada sentuhan langsung dengan kudis daripada orang yang dijangkiti.
  • Individu yang dijangkiti juga mungkin mencemari permukaan pepejal seperti televisyen, meja atau katil. Secara amnya, virus boleh terus hidup selama kira-kira dua jam pada permukaan seperti pemegang pintu dan tombol pintu di mana terdapat sentuhan langsung dengan tangan orang yang dijangkiti.

Komplikasi Cacar Air

Cacar air ialah penyakit dialami oleh kanak-kanak yang biasanya sembuh tanpa sebarang komplikasi. Namun, dalam kes yang jarang berlaku, ia boleh menyebabkan komplikasi serius pada bayi, ibu hamil, remaja dan dewasa serta orang yang mempunyai sistem imun yang lemah.

Dalam kes yang lebih teruk, pesakit mungkin mengalami radang paru-paru, keradangan saluran darah, pembengkakan otak dan jangkitan pada aliran darah, tulang atau sendi.

Bagi orang dewasa yang dijangkiti cacar air, mereka mungkin mengalami simptom dan komplikasi yang lebih teruk berbanding kanak-kanak.

Kayap juga berpunca daripada virus cacar air. Virus cacar air kekal tidak aktif dalam badan selepas seseorang pulih daripada cacar air. Virus ini boleh diaktifkan semula bertahun-tahun kemudian lalu menyebabkan kayap.

Apabila kayap berlaku, individu yang terjejas akan mengalami ruam yang menyakitkan dan gatal pada sebelah muka atau badan. Kesakitan atau sensasi sesemut boleh dirasai pada bahagian ruam muncul. 

Pilihan Rawatan Cacar Air Kanak-kanak

Jika anak anda menghidap cacar air, doktor anda mungkin memberi losen calamine atau antihistamin untuk melegakan gatal dan acetaminophen untuk mengawal demam. Dalam kebanyakan kes, kanak-kanak yang sihat biasanya dirawat dengan rehat tidur yang mencukupi, minum banyak air dan kawalan demam. 

Walau bagaimanapun, aspirin tidak boleh diberikan kepada kanak-kanak yang dijangkiti kerana kemungkinan risiko Sindrom Reye yang seterusnya.

Dalam kes yang serius, ubat antiviral mungkin diberi, bergantung pada tahap jangkitan, umur dan kesihatan pesakit serta masa rawatan.

Vaksinasi Cacar Air

Vaksin cacar air merupakan cara selamat dan berkesan untuk melindungi diri daripada virus cacar air dan komplikasi yang berkaitan dengannya. 

Vaksin cacar air ialah vaksin virus hidup yang dilemahkan (virus penghasil penyakit yang diubah suai atau dilemahkan dalam makmal untuk menghasilkan organisma yang memberikan imuniti dalam badan tanpa menyebabkan penyakit).

Vaksin cacar air diberikan dalam dua dos. Dos pertama diberikan antara umur 12 dan 15 bulan, biasanya sebagai satu suntikan. Dos kedua boleh diberi dalam tempoh sekurang-kurangnya tiga bulan selang dari dos pertama.

Terdapat vaksin yang menggabungkan vaksin MMR dan cacar air dalam satu suntikan; dipanggil vaksin MMRV (beguk, campak, rubella, varicella) yang boleh diambil pada usia satu tahun dan ke atas.

Keberkesanan dan Kesan Sampingan Biasa Vaksin Cacar Air

Kajian melaporkan keberkesanan dua dos vaksin cacar air berkisar antara 84% hingga 98%. Menurut CDC, orang yang divaksinasi terhadap cacar air mengekalkan antibodi itu untuk sekurang-kurangnya 10 hingga 20 tahun selepas vaksinasi diberi ketika kanak-kanak.

Vaksin ini sangat berkesan melindungi diri daripada cacar air bagi golongan yang tidak imun terhadap penyakit ini akibat jangkitan atau vaksinasi sebelumnya. Ia juga membantu mengurangkan keterukan simptom dan komplikasi yang berkaitan jika seseorang itu dijangkiti virus, serta mengurangkan risiko komplikasi yang serius. Vaksin ini turut boleh membantu mengurangkan penyebaran virus kepada golongan yang tidak diberi vaksin. 

Oleh itu, penting untuk kanak-kanak menerima vaksin cacar air untuk melindungi diri mereka dan orang lain daripada virus yang sangat mudah menular ini. Kesimpulannya, mendapatkan vaksin cacar air adalah jauh lebih selamat daripada mendapat penyakit cacar air.

Walaupun sangat jarang berlaku, sesetengah individu masih dijangkiti walaupun selepas imunisasi. Akan tetapi, penyakit ini akan menjadi lebih ringan berbanding tidak diberi vaksin dan mereka akan pulih lebih cepat.

Vaksin ini selamat dan berkesan tetapi mungkin mempunyai beberapa kesan sampingan yang kecil. Kesan sampingan yang paling biasa ialah kemerahan atau bengkak pada tapak suntikan, demam dan sakit kepala. Sesetengah kanak-kanak mungkin mengalami ruam ringan yang berlangsung selama satu hingga dua hari selepas menerima suntikan.

Maklumkan doktor jika anak anda mengalami reaksi alahan selepas mengambil vaksin cacar air atau sebarang alahan teruk sedia ada atau jika dia mempunyai sistem imun yang lemah atau mempunyai ibu bapa atau adik-beradik yang mempunyai sejarah masalah sistem imun keturunan atau kongenital.

Atur Janji Temu di Hospital Gleneagles

Jika anda ingin mengetahui lebih lanjut tentang vaksinasi cacar air, hubungi kami untuk mengatur janji temu hari ini untuk rundingan atau lawati Jabatan Penjagaan Pediatrik kami di Hospital Gleneagles yang terdekat dengan anda.

Hubungan kecemasan
Gleneagles Hospital Kota Kinabalu
Ambulans / Kecemasan
+6088 518 911
Gleneagles Hospital Kuala Lumpur
Ambulans / Kecemasan
+603 4141 3018
Gleneagles Hospital Penang
Ambulans / Kecemasan
+604 222 9199
Gleneagles Hospital Medini Johor
Ambulans / Kecemasan
+607 560 1111
Pilih Hospital