Urologi
  • Ambulans / Kecemasan
    +6088 518 911
  • Talian am
    +6088 518 888

Urologi

Pakar urologi memiliki pengkhususan perubatan dalam saluran kencing lelaki dan wanita, serta sistem pembiakan lelaki, dan mereka dilatih untuk mendiagnosis, merawat dan menguruskan berbagai penyakit urologi seperti masalah buah pinggang, kelenjar adrenal, ureter, dan pundi kencing, serta masalah dalam sistem pembiakan lelaki.

Penyakit Urologi dan Simptom-simptom

Disebabkan masalah urologi menunjukkan berbagai simptom yang mudah disalah diagnosis, saringan komprehensif disarankan bagi memastikan dan merawat jangkitan ini dengan tepat. Doktor anda akan bertanya soalan berkaitan dengan simptom-simptom anda, menjalankan pemeriksaan fizikal, dan mencadangkan ujian tambahan, jika dianggap perlu.

Jangkitan Saluran Kencing

Apabila bakteria dalam sistem pencernaan bersentuhan dengan uretra, mikrob ini akan mematahkan pertahanan semula jadi badan, dan mengakibatkan kesakitan dan jangkitan. Tanpa rawatan, jangkitan ini boleh merebak kepada buah pinggang dan menyukarkan lagi rawatan baginya. Sesiapa sahaja boleh mendapat jangkitan saluran kencing, tetapi ia lebih kerap berlaku dalam wanita.

Simptom-simptom termasuk:

- Sakit dalam buah pinggang
- Sakit pelvis
- Sakit otot dan lesu
- Sakit semasa kencing
- Kencing berdarah
- Urin berwarna keruh, berbau kuat
- Gesaan untuk kencing bertambah

Batu Karang

Mineral dan garam dalam buah pinggang anda boleh mengeras dan membentuk batu karang. Ini biasanya berlaku jika urin anda terlalu pekat dan menyebabkan penghabluran mineral dan garam tersebut. Mengeluarkan batu karang mungkin agak sakit, tetapi ia biasanya tidak memudaratkan jika dikesan awal.

Namun, batu-batu yang terperangkap dalam saluran kencing boleh menyebabkan komplikasi lanjutan seperti jangkitan.

Meskipun tidak menunjukkan apa-apa simptom dengan sendirinya, anda mungkin dapat merasanya apabila ia mula bergerak di dalam ginjal atau dikeluarkan melalui ureter. Simptom-simptom kemudian termasuk:

- Kesakitan teruk di sisi dan belakang badan yang boleh merebak ke arah kaki
- Sakit semasa kencing
- Urin berwarna keruh atau berbau busuk
- Kencing berdarah
- Demam

Kanser Pundi Kencing

Keadaan ini biasanya berlaku apabila sel-sel dalam pundi kencing membesar dengan cepat dan tidak terkawal. Apabila sel yang mencukupi dihasilkan, tumor akan terbentuk dan boleh merebak ke bahagian lain dalam badan. Biasanya, kanser ini bermula dalam urothelium, iaitu lapisan pundi kencing yang paling dalam. Apabila ia merebak, ia sering menyerang nodus limfa, hati atau paru-paru.

Simptom-simptom termasuk:

- Kencing berdarah
- Hilang selera makan dan hilang berat badan
- Membuang air kecil lebih kerap daripada biasa
- Sakit semasa kencing
- Gesaan untuk kencing meskipun pundi kencing tidak penuh
- Sakit pada sebelah bahagian pinggang
- Aliran urin lemah
- Lesu dan lemah

Kanser Prostat

Masalah ini biasa dialami dan ia berkembang perlahan-lahan, dan terkandung di dalam prostat pada peringkat awal. Kebanyakan lelaki dengan kanser ini mungkin dapat hidup bertahun-tahun tanpa sebarang masalah.

Namun, jika tumor mula merebak jauh daripada prostat, ia boleh menyumbatkan tisu-tisu di sekeliling, dan menghasilkan simptom-simptom ini:

- Semakin kerap membuang air kecil pada waktu malam
- Sukar memulakan atau menghentikan aliran urin
- Inkontinens berlaku semasa gelak, batuk dan bersin
- Sakit semasa kencing atau ejakulasi
- Urin atau semen berdarah

Disfungsi Erektil

Disfungsi erektil adalah ketidakupayaan lelaki untuk menghasilkan ereksi yang mencukupi bagi hubungan kelamin, yang boleh berpunca daripada gabungan masalah fizikal dan fisiologi. Jika masalah ini berterusan, ia mungkin menandakan risiko bagi diabetes dan penyakit jantung.

Temui doktor anda jikalau anda mempunyai gangguan ereksi dan masalah seksual lain seperti ejakulasi pramatang atau ejakulasi lambat.

Hiperplasia Prostat Benigna (BPH)

Masalah ini biasanya dialami oleh lelaki yang berumur, di mana prostat menjadi lebih besar daripada biasa, dan menekan pada uretra. Sesetengah orang mungkin mengalami aliran urin yang lemah atau kerap terjaga untuk membuang air kecil. Sesetengah doktor mungkin juga mendapati pembesaran ini berpunca daripada hormon.

Disebabkan uretra yang terjepit, pundi kencing terpaksa bekerja lebih kuat dan lama-kelamaan, otot-otot pundi akan menjadi lemah. Simptom-simptom yang mungkin muncul:

- Inkontinens
- Semakin kerap membuang air kecil
- Gesaan untuk kencing meskipun baru sahaja kencing

Inkontinens Urinari

Kehilangan kawalan pundi kencing adalah masalah biasa, di mana kebocoran mungkin berlaku semasa batuk atau bersin, atau tiba-tiba amat tergesa untuk kencing. 

Inkontinens urinari tidak semestinya merangkumi sebahagian daripada proses penuaan kerana ia boleh ditangani atau dihentikan dengan mengubah gaya hidup atau mendapatkan rawatan perubatan.

Saringan Penyakit Urologi

Kebanyakan ujian saringan disarankan bagi mereka yang mengalami sebarang simptom di atas. Memandangkan faktor genetik memainkan peranan yang penting, kami menasihati mereka dengan sejarah keluarga penyakit urologi untuk menjalani saringan sebaik sahaja simptom muncul, kerana jangkitan hanya akan bertambah teruk. Saringan adalah lebih penting bagi mereka dengan masalah urologi yang berpanjangan dan berulang.

Saringan mungkin merangkumi ujian berikut:

- Ujian pengimejan seperti Ultrabunyi, imbasan CT dan imbasan MRI

- Sistokop dimasukkan melalui saluran kencing untuk mengambil sampel tisu bagi diuji

- Ujian urin dijalankan untuk mengesan bakteria atau tanda-tanda penyakit yang lain

- Biopsi dijalankan untuk mengesan kanser dan masalah lain

- Ujian urodinamik dijalankan bagi menentukan kadar kelajuan urin meninggalkan badan, isi padu urin selepas kencing, dan tekanan pada pundi kencing

Diagnosis bagi Penyakit Urologi

Pakar anda mungkin akan mendiagnosis beberapa penyakit melalui kaedah ini:

Urinalisis

Sampel urin anda akan dihantar ke makmal untuk dianalisis, dan apa-apa tanda jangkitan seperti kiraan sel darah putih yang tinggi dan bakteria akan diperhatikan. Untuk mengurangkan pencemaran sampel, anda mungkin diminta membersihkan kawasan genital dan mengumpul urin pada separa aliran sahaja.

Ultrabunyi, Imbasan CT, MRI

Ujian pengimejan seperti Ultrabunyi, Imbasan CT dan MRI mungkin digunakan bagi pesakit dengan jangkitan yang berpanjangan dan/atau kerap. Ini boleh membantu doktor anda untuk memeriksa sebarang keabnormalan pada saluran kencing anda. Bagi ujian pengimejan, pewarna kontras kadang-kadang digunakan bagi menandakan struktur saluran kencing.

Mengkultur Urin

Pengkulturan bakteria dalam makmal mungkin akan digunakan bersama dengan urinalisis. Ujian ini boleh membantu mengesan bakteria yang menyebabkan jangkitan untuk membantu doktor anda menentukan rawatan yang sesuai.

Sistoskopi

Bagi individu dengan jangkitan teruk yang berulang, sistoskopi mungkin disarankan untuk memeriksa uretra dan pundi kencing menggunakan kanta yang dipasang pada tiub panjang yang halus.

Rawatan bagi Berbagai Penyakit Urologi

Meskipun antibiotik atau antimikrob dapat membunuh bakteria yang menyebabkan jangkitan, rawatan lain mungkin disarankan menurut keadaan individu tersebut dan keterukan simptom-simptom mereka. Doktor anda mungkin menyarankan beberapa kaedah untuk membantu anda memilih rawatan yang terbaik. Mereka juga akan mencadangkan perubahan gaya hidup tertentu seperti banyakkan minum air untuk mengeluarkan bakteria. Ubat sakit mungkin dipreskripsikan bagi mengurangkan ketidakselesaan, dan pad panas mungkin disarankan untuk melegakan sakit abdomen atau sakit belakang. Di Hospital Gleneagles, kami bermatlamat untuk membantu anda meneruskan kembali kehidupan dan aktiviti anda. Pilihan rawatan yang disenaraikan di bawah ini bergantung pada keadaan dan sejarah kesihatan individu.

Disfungsi Erektil

Rawatan bergantung kepada punca dan kesihatan umum pesakit. Terdapat pelbagai pilihan rawatan yang tersedia:

  • Ubat oral: Berkesan pada kira-kira 80% pesakit tetapi ia mungkin tidak sesuai untuk semua orang kerana ubat boleh berinteraksi dengan beberapa ubat preskripsi yang mungkin diambil oleh pesakit.
  • Terapi suntikan: Jika ubat oral tidak berjaya, terapi suntikan boleh dilakukan dengan menggunakan ubat tertentu yang boleh disuntik sendiri oleh pesakit ke dalam batang zakar untuk mencapai ereksi.
  • Peranti sedutan luaran: Alat ini digunakan untuk menarik darah ke dalam zakar untuk mencapai dan mengekalkan ereksi untuk persetubuhan.
  • Pembedahan implan zakar: Melibatkan meletakkan alat prostetik untuk sesetengah pesakit untuk membuat ereksi buatan.

Batu Karang

Rawatan bergantung pada jenis batu dan puncanya.

Meminum air, mengambil ubat melegakan kesakitan atau ubat penyekat alfa untuk mengendurkan otot-otot dalam uretra boleh membantu mengeluarkan batu karang yang kecil, tanpa rawatan yang lebih invasif.

Bagi batu yang lebih besar atau batu yang menyebabkan gejala, pilihan rawatan termasuk:

  • Menggunakan gelombang bunyi untuk memecahkan batu menjadi kepingan kecil yang kemudiannya melalui air kencing anda dalam prosedur 40 hingga 50 minit yang dipanggil extracorporeal shock wave lithotripsy (ESWL).
  • Pembedahan (nefrolitotomi perkutaneus) menggunakan instrumen kecil yang dimasukkan melalui insisi kecil pada belakang anda untuk mengeluarkan batu karang besar daripada buah pinggang.
  • Menggunakan skop yang dimasukkan melalui ureter dan pundi kencing untuk mengeluarkan batu di dalam ureter atau buah pinggang.

Inkontinens Urinari

Rawatan bergantung pada jenis, keterukan dan punca.

Inkontinens kencing akut yang disebabkan oleh batu karang, jangkitan atau kesan sampingan ubat selalunya hilang apabila masalah puncanya dirawat.

Pilihan rawatan inkontinensia kencing lain termasuk:

  • Pengurusan konservatif seperti Biofeedback, rangsangan elektrik dan senaman Kegel yang mudah 
  • Peranti kontinensia bahan buking seperti (kolagen atau bahan tiruan) dan pesari (cincin separuh tegar) untuk membantu meletakkan semula dan menstabilkan pundi kencing dan uretra
  • Rawatan pembedahan seperti memasukkan tiub nipis ke dalam pundi kencing (kateterisasi) bagi mereka yang pundi kencingnya gagal mengosongkan sepenuhnya, meletakkan anduh pubo-vaginal (“hammock”) di bawah pundi kencing untuk memberikan sokongan, meletakkan sfinkter tiruan untuk mengelakkan kebocoran air kencing atau jahitan untuk menstabilkan pundi kencing
  • Ubat

Tertakluk kepada masalah pesakit, gabungan terapi ini mungkin diperlukan dan rawatan disesuaikan untuk memenuhi keperluan individu.

Kanser Prostat

Pilihan rawatan anda mungkin berbeza dengan ketara menurut keagresifan kanser, jarak penyebarannya, dan kesihatan keseluruhan anda.

Bagi lelaki dengan kanser prostat berisiko rendah, rawatan segera mungkin tidak diperlukan, tetapi doktor anda mungkin akan mencadangkan pengawasan aktif di mana penyakit akan dipantau melalui ujian darah, pemeriksaan rektum dan biopsi secara kerap.

Lain-lain pilihan termasuk:
- Pembedahan untuk membuang seluruh kelenjar prostat (prostatektomi radikal), serta tisu di sekelilingnya dan nodus limfa

- Terapi radiasi sinar luaran di mana anda akan baring di atas meja sementara mesin bergerak dan menghalakan sinar kepada prostat anda

- Benih radioaktif diletakkan dalam tisu prostat untuk menyampaikan dos yang rendah perlahan-lahan

Hiperplasia Prostat Benigna (BPH)

Rawatan bergantung pada umur, keterukan BPH dan kesihatan umum pesakit.

Pilihan rawatan termasuk:

  • Rawatan ubat
  • Pengewapan laser untuk pesakit dengan kelenjar prostat yang lebih kecil
  • Rawatan pembedahan untuk membuang bahagian prostat yang bengkak yang menekan uretra
  • Tunggu dan perhatikan jika simptom semakin kurang teruk

Jangkitan Saluran Kencing

Doktor anda mungkin akan menjalankan urinalisis untuk mengesan tanda-tanda jangkitan. Jangkitan saluran kencing boleh dirawat dengan antibiotik, dan tempoh rawatan bergantung pada keterukan simptom-simptom anda. Untuk mengurangkan kesakitan, kaedah lain mungkin digunakan bersama rawatan antibiotik. Ini termasuk:

- Memanaskan kawasan
- Banyakkan minum air
- Probiotik
- Ubat sakit
- Ubat untuk melegakan kesakitan semasa kencing seperti phenazopyridine
- Mengelakkan bahan-bahan yang merengsakan pundi kencing seperti kopi dan makanan pedas

Pesakit sihat yang mengalami jangkitan saluran kencing disarankan mengambil antibiotik selama 3 hari untuk menghilangkan jangkitan. Jika jangkitan telah merebak kepada buah pinggang, pengambilan antibiotik mungkin perlu dilanjutkan.

Kanser Pundi Kencing

Kanser pundi kencing biasanya dirawat dengan:
- Kemoterapi untuk mematikan sel-sel kanser

- Imunoterapi bagi menguatkan sistem imun dan meningkatkan keupayaan badan untuk melawan kanser

- Terapi radiasi untuk mematikan sel-sel kanser diikuti oleh surgeri bagi membuang tumor. Bergantung pada keterukan masalah, nodus limfa mungkin perlu dibuang juga

- Sistektomi untuk membuang pundi kencing, dan sebahagian usus akan digunakan untuk membuat saluran pengeluaran urin baharu, yang dilencongkan kepada bukaan di luar badan. Pesakit perlu memakai beg ostomi yang bersambung kepada bukaan ini untuk mengumpulkan dan mengeluarkan urin.

Sekiranya anda mempunyai sebarang soalan, hantar pertanyaan kepada kami

Membuat pertanyaan
Hubungan kecemasan
Gleneagles Hospital Kota Kinabalu
Ambulans / Kecemasan
+6088 518 911
Pilih Hospital