Meta tajuk halaman Memahami Pap Smear | Hospital Gleneagles

Memahami Pap Smear



Pap smear adalah ujian yang mengambil sedikit sampel sel daripada serviks untuk mengesan masalah prakanser dan kanser pada serviks. Ia dianggap sebagai alat saringan utama untuk kanser serviks. Ketahui lebih lanjut mengenai Pap smear dalam artikel ini.

Bagaimanakah Pap smear dilakukan?

Ujian selalunya dilakukan dalam pejabat doktor semasa pemeriksaan pelvis dan akan mengambil masa beberapa minit sahaja. Doktor anda akan menjelaskan langkah-langkah ujian sebelum prosedur dimulakan.

Doktor akan memasukkan satu instrumen yang dipanggil spekulum ke dalam vagina untuk melebarkannya supaya boleh melihat serviks dan bahagian atas vagina.

Bahagian bawah serviks akan dicalit perlahan-lahan menggunakan spatula (spatula Ayre) untuk mengambil sampel sel, sementara berus (cytobrush) pula akan digunakan untuk mengambil sel daripada bahagian dalam serviks. Sampel yang diambil akan diletakkan dalam cecair pengawet dan dihantar ke makmal untuk diperiksa.

Mengapa anda perlu lakukan Pap smear?

Salah satu cara terbaik untuk melindungi diri anda daripada kanser serviks adalah dengan melakukan ujian saringan.

Untuk wanita berumur 30 tahun ke atas, sampel yang diambil daripada serviks akan diuji untuk kehadiran papilomavirus manusia (HPV) yang tertentu. Jangkitan HPV adalah jangkitan hubungan jenis yang menambahkan risiko mendapat kanser serviks dalam kalangan ramai wanita.

Berapa kerapkah ujian Pap smear patut dilakukan?

Kaum wanita dinasihatkan untuk menjadikan Pap smear sebahagian daripada pemeriksaan rutin tahunan bermula daripada umur 21 tahun atau 3 tahun selepas melakukan persetubuhan yang pertama.

Ia patut dilakukan setiap tahun sehingga umur 30 tahun dan jika keputusan ujian adalah normal selama dua tahun berturut-turut, ujian seterusnya boleh dilakukan setiap tiga tahun.

Jika anda berumur 30 tahun ke atas dan keputusan ujian Pap smear sentiasa normal, bincang dengan doktor anda untuk menjalankan satu ujian yang digabungkan dengan ujian HPV setiap lima tahun.

Wanita yang berumur lebih daripada 65 tahun tidak perlu lagi menjalani saringan jika keputusan ujian adalah normal selama beberapa tahun dan selepas prosedur histerektomi total di mana pembuangan serviks adalah sebahagian daripada prosedur itu.

Doktor anda mungkin akan meyarankan ujian Pap smear yang lebih kerap jika anda mempunyai faktor risiko seperti berikut:

  • Diagnosis kanser serviks
  • Keputusan ujian yang menunjukkan kehadiran sel prakanser
  • Positif HIV
  • Pendedahan kepada dietilstilbestrol (DES) sebelum lahir - sejenis estrogen sintetik
  • Sistem imun yang lemah disebabkan oleh pemindahan organ, kemoterapi, penggunaan steroid yang kronik
Adakah ujian Pap smear menyakitkan?

Ujian itu sendiri tidak menyakitkan tetapi ada yang merasa tidak selesa semasa spekulum dimasukkan ke dalam vagina.

Bagaimanakah persediaan untuk ujian Pap smear?

Anda disarankan untuk membuat janji temu semasa anda tidak kedatangan haid.

Jika ujian anda dijadualkan dalam masa dua hari:

  • Elakkan douche (mencuci vagina dengan air atau cecair lain)
  • Elakkan ubatan vagina atau krim
  • Elakkan hubungan seks
  • Elakkan penggunaan tampon
  • Elakkan krim pencegah kehamilan, jeli atau buih

Anda dinasihatkan untuk memakai pakaian yang selesa dan membawa sesuatu untuk mendengar atau membaca semasa prosedur. Jangan takut untuk berkomunikasi dengan doktor jika anda merasa sakit atau tidak selesa pada bila-bila masa semasa prosedur.

Apakah maksud keputusan Pap smear saya?

Keputusan ujian Pap smear mungkin normal, tidak normal atau tidak jelas.

Normal

Keputusan normal atau negatif menunjukkan tiada perubahan sel di dalam serviks anda. Tiada ujian lanjutan diperlukan sehingga ujian pada jadual seterusnya.

Tidak Normal

Keputusan tidak normal menunjukkan perubahan sel telah dikesan di dalam serviks anda, walaupun ini tidak semestinya bermakna yang anda menghidap kanser serviks.

Perubahan tidak normal mungkin disebabkan oleh HPV. Perubahan itu mungkin sederhana (gred-rendah) atau teruk (gred-tinggi). Perubahan sederhana mungkin akan kembali normal dengan sendirinya. Perubahan yang teruk di panggil "prakanser" kerana ia belum menjadi kanser, tetapi berpotensi untuk menjadi kanser lama-kelamaan.

Dalam situasi yang jarang ditemui, keputusan Pap smear yang tidak normal mungkin menunjukkan kehadiran malignansi (kanser). Ujian tambahan perlu dilakukan untuk mengesahkan diagnosis itu. Lebih awal kanser serviks dikesan, lebih baik peluang untuk merawatnya.

Tidak Jelas

Jarang sekali, keputusan ujian adalah tidak jelas dan doktor anda akan menasihatkan anda untuk mengulangi ujian dalam masa 12 minggu.

Buat tempahan janji temu di Hospital Gleneagles

Adakah anda bimbang mengenai faktor risiko kanser serviks?

Hubungi kami untuk membuat tempahan janji temu dengan pakar Onkologi Ginekologi di Hospital Gleneagles hari ini. Kami menjamin penjagaan yang terbaik, dan khusus untuk keperluan spesifik anda.


Hubungan kecemasan
Gleneagles Hospital Kota Kinabalu
Ambulans / Kecemasan
+6088 518 911
Gleneagles Hospital Kuala Lumpur
Ambulans / Kecemasan
+603 4141 3018
Gleneagles Hospital Penang
Ambulans / Kecemasan
+604 222 9199
Gleneagles Hospital Medini Johor
Ambulans / Kecemasan
+607 560 1111
Pilih Hospital