Cara mengurangkan risiko mendapat penyakit tidak berjangkit
First slide First slide
Kekal Sihat
Penjagaan Pencegahan

Cara mengurangkan risiko mendapat penyakit tidak berjangkit

19 Ogos 2022 · 10 mins read

Topics





Semasa kita beralih daripada pandemik, kini kita harus mengutamakan wabak halimunan, penyakit tidak berjangkit (NCD) dengan kedua-duanya merupakan faktor risiko COVID-19 dan punca utama kematian serta morbiditi di seluruh dunia.

Jenis-jenis penyakit tak berjangkit (NCD)

Penyakit tak berjangkit atau NCD adalah satu kumpulan penyakit yang mempunyai implikasi kesihatan jangka panjang. Empat jenis utama NCD adalah:

  • Penyakit kardiovaskular (keadaan dan sakit jantung serta saluran darah)
  • Kanser
  • Diabetes
  • Penyakit pernafasan kronik

NCD berikut biasanya memerlukan rawatan dan penjagaan jangka masa panjang.

NCD merupakan tujuh daripada sepuluh penyebab kematian teratas di seluruh dunia mengikut Anggaran Kesihatan Global 2019 oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Penyakit kardiovaskular adalah penyebab utama kematian dalam 20 tahun yang lepas.

Di Malaysia, Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2019 melaporkan sebanyak 50.1% penduduk Malaysia dewasa adalah obes atau terlampau berat, 38.1% menghidap hiperkolesterolemia (tahap kolesterol tinggi), 30% menghidap hipertensi (tekanan darah tinggi) dan 18.3% menghidap diabetes.

Orang yang merokok, menjalani gaya hidup yang tidak aktif, mengambil diet yang tidak sihat dan alkohol berisiko lebih tinggi untuk menghidap NCD.

Kesan-kesan NCD

  1. Beban ekonomi

    Beban NCD menyebabkan negara kita membelanjakan hampir RM8.91 bilion, atau 0.65% daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) berdasarkan satu laporan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan WHO. Perkara ini membebankan ekonomi negara dan individu kerana memberikan kesan kepada kehidupan mereka dan menyebabkan kemiskinan.

  2. Membebankan sistem penjagaan kesihatan

    Kadar prevalens NCD yang tinggi memberikan tekanan yang besar kepada sistem penjagaan kesihatan negara kita dalam mengurus penjagaan komplikasi pesakit yang menghidap NCD.

  3. Menurunkan kualiti hidup

    Sesetengah NCD terutamanya penyakit kardiovaskular kebiasaannya memerlukan proses pemulihan yang lama. NCD yang tidak dikawal dengan baik boleh menyebabkan kualiti hidup yang lebih rendah disebabkan beban kewangan dan kesihatan emosi pesakit dan keluarga mereka.

Cara-cara untuk mengurangkan risiko menghidap NCD

Semasa pandemik, kes-kes jangkitan yang teruk dan kematian disebabkan COVID-19 adalah berkait rapat dengan penyakit NCD sedia ada dan faktor risikonya.

Oleh itu, penting untuk kita bincangkan tentang faktor risiko penyakit-penyakit tersebut. Melabur dalam membuat perubahan kepada gaya hidup anda seawal yang mungkin untuk mengurangkan risiko menghidap NCD.

  1. Mengambil diet yang sihat dan seimbang
    • Masukkan semua nutrien utama daripada banyak buah-buahan dan sayu-sayuran, protein dan karbohidrat yang kompleks (bijirin penuh dan kekacang).
    • Kurangkan pengambilan garam untuk mengelakkan kenaikan tekanan darah.
    • Hadkan penggunaan gula, lemak tepu dan produk makanan yang diproses.
    • Kawal pengambilan alkohol.
  2. Terlibat dalam senaman atau aktiviti fizikal
    • Bersenam setiap hari selama 25-30 minit daripada berjalan laju hingga ke aktiviti fizikal sederhana.
    • Senaman yang kerap dapat memperbaiki kesihatan secara menyeluruh, sistem kardiovaskular, mengurangkan tahap kolesterol dan mengekalkan tahap tekanan darah yang sihat.
  3. Berhenti merokok
    • Merokok menyebabkan pelbagai isu kesihatan seperti kanser, penyakit kardiovaskular dan penyakit respiratori.
    • Risiko menghidap NCD berkurang apabila seseorang itu berhenti merokok.
  4. Mengurus stres
    • Cari cara untuk menenangkan fikiran anda dan mengurangkan stres seperti teknik santaian dan meditasi.
    • Minta nasihat seorang profesional jika anda memerlukan nasihat tambahan dalam pengurusan stres.
  5. Membuat pemeriksaan kerap
    • Kebanyakan NCD tidak dapat dikenalpasti sehingga sudah terlewat untuk merawatnya.
    • Oleh itu, pemeriksaan kerap boleh membantu untuk memastikan kesihatan anda terjaga dan anda boleh mengesan NCD dan faktor risikonya lebih awal, supaya boleh dirawat dengan mudah.

Rujukan

  1. Pertubuhan Kesihatan Sedunia. Non-communicable diseases 2021.[Accessed on 1 May 2022] Boleh didapati daripada: https://www.who.int/news-room/fact-sheets/detail/noncommunicable-diseases
  2. Institut Kesihatan Kebangsaan, Kementerian Kesihatan Malaysia. Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan. Penyakit Tak Berjangkit: Faktor Risiko dan Masalah Kesihatan lain. 2019.
  3. Pertubuhan Kesihatan Sedunia. Impak penyakit tak berjangkit dan faktor risikonya terhadap kadar keluaran dalam negara kasar Malaysia 2020.
  4. Oxford Medicine Online. Prevention and control of non-communicable diseases. 2015.[Accessed on 1 May 2022] Boleh didapati daripada: https://oxfordmedicine.com/view/10.1093/med/9780199661756.001.0001/med-9780199661756-chapter-237
  5. Murtagh J. Murtagh’s General Practice. edisi ke-5. Australia: Mc-Graw Hill. 2011

Suggested Artikel