Menjawab Soalan Anda Tentang IUD | Hospital Gleneagles
First slide First slide
Kesihatan Wanita
Penjagaan Pencegahan

Menjawab Soalan Anda Tentang IUD

19 April 2024 · 5 mins read

Topics






Ketahui tentang faedah dan beberapa risiko berkaitan IUD, plastik kecil berbentuk T yang diletakkan di dalam rahim sebagai pilihan kawalan kelahiran.

Jenis-jenis IUD

  1. Apakah itu IUD?

    Peranti intrauterin (IUD) adalah plastik kecil berbentuk T atau peranti tembaga yang diletakkan di dalam rahim untuk mengelakkan kehamilan. Bentuk pilihan kawalan kelahiran ini biasanya digunakan sebagai langkah perlindungan jangka panjang dan boleh bertahan 5 hingga 10 tahun, berdasarkan jenis IUD.

  2. Apakah dua jenis IUD yang tersedia pada masa ini?

    Dua jenis IUD kini boleh didapati - hormon dan tembaga:

    • IUD hormon atau Levonorgestrel (LNG): IUD jenis ini membebaskan sejumlah kecil progestin, bentuk sintetik hormon progesteron ke dalam rahim. Progestin memekatkan lendir serviks, menjadikannya lebih sukar untuk sperma mencapai ovum; ia juga menipiskan lapisan rahim, menjadikannya kurang menerima ovum yang disenyawakan.
    • IUD tembaga (kuprum): IUD tembaga tersedia untuk mereka yang mahukan kontraseptif bebas hormon sebagai pilihan peribadi atau disebabkan oleh keadaan perubatan. IUD jenis ini menyebabkan ovum mustahil untuk disenyawakan. Ion kuprum yang dikeluarkan daripada IUD mengubah komposisi lendir serviks dan lapisan rahim, sekali gus mengganggu percubaan sperma untuk mencapai ovum.
  3. Siapakah yang boleh menggunakan IUD?

    IUD boleh digunakan dengan selamat oleh kebanyakan wanita sihat yang memiliki rahim. Namun, IUD tidak sesuai untuk golongan wanita yang mengandung, mengalami pendarahan faraj yang tidak normal dan menghidap STI atau jangkitan pelvis yang tidak dirawat.

    Ujian prapemasangan termasuk pap smear, ujian kehamilan, saringan STD dan pemeriksaan payudara dan pelvis, dapat membantu menentukan sama ada anda adalah calon yang sesuai untuk prosedur IUD.

  4. Adakah IUD berkesan?

    Penyelidikan semasa menunjukkan IUD merupakan salah satu kaedah kontraseptif yang paling berkesan dengan kadar kegagalan kurang daripada 1%.

  5. Adakah saya masih boleh hamil selepas memakai IUD? Bagaimanakah saya boleh tahu jika saya mengandung dengan IUD?

    Ya, akan tetapi kurang daripada 1% wanita hamil selepas memakai IUD. Tanda-tanda kehamilan semasa memakai IUD adalah serupa dengan kehamilan biasa seperti terlepas haid, keletihan, loya dan kerap membuang air kecil. Rujuk doktor jika anda mengesyaki anda hamil.

Manfaat vs Kelemahan IUD

  1. Apakah manfaat IUD?

    • Kedua-dua jenis IUD memberi manfaat perlindungan jangka panjang terhadap kehamilan. FDA menyatakan bahawa IUD yang mengeluarkan progestin - sistem levonorgestrel-intrauterine (LNG-IUS), menawarkan perlindungan sehingga 5 tahun kepada pengguna. IUD tembaga boleh menawarkan perlindungan sehingga 10 tahun. 
    • Mereka boleh dikeluarkan apabila diperlukan. Kedua-dua IUD hormon dan tembaga boleh diterbalikkan dan tidak menjejaskan kesuburan. Oleh itu, kehamilan boleh terjadi selepas pembuangan IUD.
    • Kos penyelenggaraan yang rendah. Bergantung pada jenis dan jenama IUD yang dimasukkan, penggantian mungkin tidak diperlukan sehingga 10 tahun. Kami mengesyorkan rawatan susulan dengan doktor anda dengan menjadualkan pemeriksaan tahunan.
    • IUD hormon juga membantu mengurangkan jerawat dan senggugut akibat rembesan progestin dan berkesan dalam merawat haid berlebihan dan berpanjangan.
  2. Apakah kelemahan IUD?

    • IUD hormon atau tembaga tidak memberikan perlindungan daripada jangkitan seksual (STI) atau HIV. Wanita yang aktif secara seksual patut menggunakan kondom terutamanya jika mereka mempunyai pasangan baharu.
    • Kos permulaan untuk mendapatkan dan memasukkan IUD boleh menjadi agak tinggi.
    • Pemasangan awal IUD ada sedikit risiko jangkitan, yang boleh dielakkan dengan langkah berjaga-jaga yang diperlukan.
    • Sesetengah individu mungkin mengalami kekejangan perut yang bertambah, terutamanya semasa beberapa minggu atau bulan pertama selepas pemasangan IUD. 
    • IUD tembaga memiliki risiko menyebabkan haid yang berlebihan dan lebih menyakitkan.

Risiko Berkaitan IUD

  1. Apakah risiko berkaitan IUD?
  2. Normal untuk badan anda menyesuaikan diri dengan objek asing seperti IUD apabila dimasukkan ke dalam rahim. Kesan sampingan mungkin berlaku pada minggu-minggu awal selepas pemasangan apabila badan anda membiasakan diri dengan peranti tersebut. Walaupun jarang, risiko jangka panjang juga boleh berlaku. Antaranya:

    • Penyakit radang pelvis (PID) - jangkitan pada satu atau lebih organ pembiakan atas, termasuk rahim, ovari dan tiub fallopio boleh berlaku selepas 20 hari pertama pemasangan IUD.
    • Seriawan - penyelidikan terhad menunjukkan bahawa IUD boleh menyebabkan anda terdedah kepada seriawan berulang (juga dikenali sebagai jangkitan yis).
    • IUD dikeluarkan oleh rahim atau beralih kedudukan - IUD anda mungkin terkeluar sepenuhnya atau sebahagiannya kerana badan anda memberikan tindak balas negatif terhadap peranti asing.
    • Kehamilan ektopik - embrio yang melekat di luar rahim, biasanya dalam tiub fallopio.
    • Kerosakan pada rahim - keadaan ini sangat jarang berlaku, dengan kemungkinan satu dalam 1,000. 
  3. Bilakah saya harus berjumpa dengan doktor OBGYN mengenai kedudukan IUD saya?
  4. Jumpa doktor OBGYN anda jika anda memerhatikan mana-mana simptom berikut:

    • Merasa sakit pada bahagian kemasukan.
    • Menyentuh untuk menentukan kedudukan IUD.
    • Tali IUD lebih pendek atau lebih panjang daripada biasa.
    • Pendarahan tidak normal.
  5. Apakah yang akan berlaku jika IUD tidak dikeluarkan? 
  6. Sebaik sahaja peranti intrauterin (IUD) telah melepasi tarikh luputnya, tiada jaminan ia akan berkesan dalam mencegah kehamilan. Selain itu, terdapat peningkatan risiko jangkitan jika IUD kekal di tempatnya melebihi tarikh luputnya.

Selepas Pemasangan IUD

  1. Adakah pemasangan IUD menyakitkan?

  2. Berbincang dengan doctor OBGYN anda mengenai prosedur pemasangan IUD.

  3. Bilakah saya boleh melakukan hubungan seks selepas pemasangan IUD?

  4. Tunggu sekurang-kurangnya 24 jam selepas pemasangan sebelum melakukan hubungan seks faraj. Disyorkan untuk berunding dengan doktor anda tentang masa menunggu, kerana ia boleh berbeza-beza berdasarkan kes individu dan masa pemasangan semasa kitaran haid anda. 

  5. Bolehkah saya merasakan tali IUD saya?

  6. Anda mungkin dapat merasakan tali IUD anda tergantung melalui serviks ke bahagian atas faraj. Tali ini bertujuan membantu doktor anda mengeluarkan IUD dan memastikan ia berada di tempatnya. Berhati-hati untuk tidak menarik atau menggerakkan tali, kerana ini boleh mengubah kedudukan IUD.

  7. Adakah IUD menghentikan haid?

  8. Walaupun peranti dalam rahim (IUD) biasanya tidak menghentikan haid sama sekali, ia boleh menyebabkan perubahan dalam corak haid. Anda mungkin mengalami haid yang berlebihan, lebih lama atau lebih menyakitkan dengan IUD tembaga, walaupun gejala ini kebiasaannya bertambah baik dalam beberapa bulan.

    Sesetengah individu yang menggunakan IUD hormon mengalami haid yang lebih ringan dan dalam sesetengah kes, haid mungkin berhenti. Penting untuk ambil perhatian bahawa tindak balas individu terhadap IUD boleh berbeza-beza.

  9. Bolehkah saya memakai tampon dan/atau cawan haid dengan IUD?

  10. Ya, penggunaan tampon secara amnya selamat apabila anda mempunyai alat intrauterin (IUD). IUD diletakkan di dalam rahim, di luar serviks dan tidak mengganggu penggunaan tampon. Tampon dimasukkan ke dalam faraj dan tidak berinteraksi dengan IUD atau menjejaskan kedudukannya.

    Penggunaan cawan haid dengan IUD mungkin menimbulkan potensi risiko IUD terkeluar. Adalah disyorkan untuk berunding dengan doktor anda sama ada anda boleh mula atau terus menggunakan cawan haid anda selepas memasukkan IUD.

Atur Janji Temu di Hospital Gleneagles

Bincang dengan doktor anda untuk mengetahui lebih lanjut tentang IUD dan jika ia pilihan yang tepat untuk anda. 

Hubungi kami untuk mengatur janji temu dengan pasukan ginekologi hari ini atau ketahui lebih lanjut tentang Perkhidmatan Obstetrik dan Ginekologi di Hospital Gleneagles yang terdekat dengan anda.


Suggested Artikel